Ahad, 29 Mei 2011

CERITA KANAK-KANAK: TIDAK TAKUT LAGI





Semasa rehat Wong Vern Dirt tidak menjamah sebarang makanan. Dia hanya duduk di dalam kelas seorang diri. Dia berasa sangat susah hati. Hatinya tertanya – tanya mengapa guru kelasnya memilih dirinya? Apa kelebihan yang dia ada sehingga dia terpilih mewakili kelasnya dalam Pertandingan Bercerita Bahasa Malaysia. Dia mula teringat peristiwa semasa di dalam kelas bahasa Malaysia tadi.

“Wakil kelas 4 Setia untuk Pertandingan Bercerita Bahasa Malaysia ialah Ikhwan dan Wong Vern Dirt,” jelas Cikgu Ramlah kepada murid-murid kelas 4 Setia. Serentak itu semua murid di dalam kelas 4 Setia bertepuk tangan.

“Saya berharap kamu berdua dapat berusaha dan berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk menyertai pertandingan itu. Jika ada masalah awak berdua boleh berjumpa dengan cikgu pada bila-bila masa sahaja,” kata Cikgu Ramlah sambil menghulurkan teks cerita kepada Ikhwan dan Wong Vern Dirt.

Wong Vern Dirt hanya membisu sahaja apabila Cikgu Ramlah mengumumkan yang dia menjadi wakil kelas dalam pertandingan bercerita itu. Dia tidak mampu bersuara untuk mengatakan tidak kepada keputusan yang telah ditetapkan oleh Cikgu Ramlah. Namun hatinya memberontak. Dia tidak yakin yang dia mampu untuk menyertai pertandingan bercerita itu.

Sebelum pulang ke rumah, Wong Vern Dirt mahu berjumpa dengan Cikgu Ramlah. Dia mahu berterus terang dengan Cikgu Ramlah yang dia mahu menarik diri daripada menyertai pertandingan bercerita itu. Dia juga mahu memberitahu kepada Cikgu Ramlah yang dia takut untuk berdiri di atas pentas untuk bercerita.

“Saya mahu tarik diri cikgu,” kata Wong Vern Dirt dengan suara yang lemah.




“Mengapa Vern Dirt, awak ada masalahkah?”, tanya Cikgu Ramlah.




“Saya tidak tahu bercerita cikgu,”.




“Oh, begitu! Itu masalah biasa Vern Dirt. Sebenarnya awak bukan tidak tahu. Tetapi, cikgu rasa awak takut untuk menyertai pertandingan itu, betul tak?”, tanya Cikgu Ramlah.






Wong Vern Dirt hanya mengangguk sahaja. Dia tidak mampu berkata apa-apa.

“Cikgu yakin Vern Dirt boleh buat. Lagipun, cikgu lihat Vern Dirt memang petah bercakap dalam bahasa Malaysia. Jika Vern Dirt berusaha dan berlatih bersungguh-sungguh mustahil Vern Dirt tidak boleh buat,” kata Cikgu Ramlah.

Wong Vern Dirt hanya diam seribu bahasa. Dia berasa ada benarnya kata-kata Cikgu Ramlah. Lagipun pertandingan bercerita itu akan diadakan pada bulan hadapan. Dia masih ada masa untuk berlatih dan mempersiapkan dirinya untuk menyertai pertandingan itu.

“Beginilah Vern Dirt, cikgu harap awak dapat menyertai pertandingan itu. Awak harus melawan perasaan takut awak. Awak mesti berani menghadapi cabaran dan jangan cepat mengalah”, Cikgu Ramlah memberi kata – kata semangat kepada Wong Vern Dirt.




Selepas mendengar nasihat daripada Cikgu Ramlah, Wong Vern Dirt meminta izin untuk beredar. Dia mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Ramlah di atas nasihat yang diberikan. Di hati Wong Vern Dirt berasa sedikit lega setelah dia berjumpa dengan Cikgu Ramlah. Dia berasa sedikit yakin yang dia mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh Cikgu Ramlah.

Sedang Wong Vern Dirt menunggu bas sekolah sambil membaca teks cerita yang diberikan oleh Cikgu Ramlah, dia disapa oleh Ikhwan. Ikhwan perlahan duduk bersila di sebelah Wong Vern Dirt.

“Awak ada masalahkah Vern Dirt?”, tiba-tiba sahaja Ikhwan menyoalnya.




“Mengapa awak bertanya begitu,” jawab Wong Vern Dirt.




“Pada waktu rehat tadi saya lihat awak asyik termenung sahaja di dalam kelas. Selepas rehat pun awak tidak ceria seperti biasa?”, soal Ikhwan lagi.

Wong Vern Dirt hanya diam sahaja. Kemudian, dengan tangan kanannya dia menunjukkan kepada Ikhwan teks cerita yang diberikan oleh Cikgu Ramlah.




“Oh, pasal ini rupanya,” kata Ikhwan sambil ketawa kecil.




“Ya, pasal pertandingan bercerita inilah. Saya rasa takutlah Ikhwan”, rungut Wong Vern Dirt.




“Sebenarnya, saya pun seperti awak juga. Saya pun berasa takut. Tetapi, saya melawan perasaan takut itu,” kata Ikhwan.




“Awak pun takut Ikhwan? Tapi saya lihat awak macam biasa sahaja?”.



“Benar, saya pun takut. Tapi, kalau kita berfikiran negatif seperti itu, apa pun perkara kita tidak boleh buat”.



“Tadi saya berjumpa dengan Cikgu Ramlah. Saya beritahu dia yang saya mahu menarik diri daripada menyertai pertandingan bercerita itu. Tapi, Cikgu Ramlah nasihatkan saya supaya menyertai pertandingan itu,”.




“Beginilah Vern Dirt. Saya ada satu idea. Apa kata kita berlatih bersama-sama. Sementara kita menunggu bas ini pun kita boleh berlatih”.




“Bagus idea kamu Ikhwan. Lagipun saya tak berapa pandai hendak bercerita ni”.




“Kalau kamu tidak keberatan, kamu boleh datang ke rumah saya pada waktu petang. Lagipun rumah awak dengan rumah saya bukannya jauh pun. Kita boleh meminta tunjuk ajar daripada kakak saya. Dia memang pandai dalam hal bercerita ini”.




“Kalau begitu baguslah,”jawab Wong Vern Dirt dengan wajah yang ceria.

Sejak hari itu, Wong Vern Dirt dan Ikhwan sering berlatih bersama-sama. Jika ada masa lapang mereka berdua akan cuba berlatih. Tidak kiralah di sekolah mahupun di rumah. Kadangkala mereka berdua akan bertemu dengan Cikgu Ramlah untuk meminta pendapat dan tunjuk ajar dalam hal bercerita. Cikgu Ramlah banyak membantu mereka berdua dalam mereka membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan bercerita itu.

Sudah sebulan lamanya Wong Vern Dirt berlatih bersama-sama Ikhwan. Sekiranya pada mula-mula dia menerima tanggungjawab sebagai wakil kelas 4 Setia dia berasa takut tetapi setelah berlatih dengan gigih dan bersungguh-sungguh bersama Ikhwan dia mula berasa yakin untuk menghadapi pertandingan itu.

Wong Vern Dirt tidak mengharapkan dia akan menang dalam pertandingan itu. Matlamatnya hanya satu iaitu melakukan persembahan yang terbaik. Dia berharap semasa pertandingan itu berlangsung dia mampu melawan perasaan takut yang menghantui dirinya selama ini. Dia berharap dia akan dapat menghilang pemikiran negatif itu dalam hidupnya. Dia harus berani menghadapi cabaran.

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Semasa di belakang pentas Wong Vern Dirt duduk diam sahaja. Dia cuba berlatih seorang diri. Kemudian dia didatangi oleh Ikhwan.

“Bagaimana Vern Dirt, awak sudah bersediakah?”tanya Ikhwan.




“Sudah, tapi saya berasa takutlah”.




“Jangan takutlah Vern Dirt. Bukankan sudah sebulan kita berlatih. Saya yakin awak mampu bercerita dengan baik”.

“Terima kasih, Ikhwan. Saya harap awak juga mampu lakukan yang terbaik dalam pertandingan ini”.




“Terima kasih, Vern Dirt”. Mereka berdua kemudiannya bersalaman dan saling memberi kata semangat untuk menghadapi pertandingan bercerita itu.

Pada pertandingan itu Ikhwan merupakan peserta kedua yang melakukan persembahan daripada 12 peserta kesemuanya. Ikhwan membuat persembahan dengan cukup cemerlang dan penuh keyakinan. Persembahan yang Ikhwan lakukan mendapat tepukan yang gemuruh daripada semua warga sekolah.

Wong Vern Dirt pula merupakan peserta kedua terakhir yang membuat persembahan. Pada permulaan persembahan dia kelihatan sedikit gementar. Namun perasaan itu hilang sedikit demi sedikit apabila dia mula selesa di atas pentas. Dia kelihatan cukup yakin dan ceria semasa membuat persembahan.

Selepas semua peserta membuat persembahan, Pengacara Majlis meminta semua peserta naik ke atas pentas. Wong Vern Dirt dan Ikhwan berdiri bersebelahan. Tanpa melengahkan masa, Pengacara Majlis mengumumkan para pemenang pertandingan bercerita itu. Wong Vern Dirt diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga manakala Ikhwan mendapat tempat pertama. Walaupun mendapat tempat ketiga Wong Vern Dirt berasa sangat seronok.




Selesai sahaja upacara penyampaian hadiah dan sesi bergambar Wong Vern Dirt didatangi oleh Cikgu Ramlah.

“Tahniah Vern Dirt”.




“Terima kasih, cikgu”, jawab Wong Vern Dirt dengan wajah yang ceria.




“Sejak dulu lagi cikgu yakin awak mampu melakukan yang terbaik”.

Wong Vern Dirt hanya tersenyum. Kemenangan tempat ketiga merupakan satu bonus kepada dirinya. Dia tidak mengharapkan kemenangan. Dia hanya berharap dia mampu melakukan yang terbaik sekaligus dapat melawan perasaan takut yang ada dalam dirinya. Dia bersyukur usaha yang dia lakukan selama ini membuahkan hasil. Yang penting dia tidak takut lagi menghadapi sebarang cabaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...